Tak lengkap dua dos, jangan hadir di pusat riadah – Bukit Aman

MANA-mana individu yang masih belum lengkap vaksinasi akan diarah beredar sekiranya berkunjung ke kawasan riadah.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, polis setakat ini telah menggerakkan pasukan khas dalam memantau perkara tersebut.

Langkah itu bertujuan bagi memastikan individu yang benar-benar lengkap dua dos vaksinasi untuk dibenarkan berada di kawasan tersebut.

“Sekiranya berdegil, mereka akan diarah beredar dari lokasi itu setelah diberi nasihat oleh polis.

“Kami faham rakyat tengah tertekan dan dalam menguatkuasakan undang-undang, sifat kemanusiaan itu penting dalam membantu masyarakat,” katanya.

Ujarnya lagi, kawasan itu pada kebiasaannya menjadi tumpuan sewaktu cuti hujung minggu berbanding hari bekerja.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed pula berkata pihaknya mengeluarkan tujuh kompaun pelanggaran SOP dan 46 saman trafik terhadap pengunjung di kawasan air terjun Sungai Pisang.

“Kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada jarak fizikal antara satu sama lain,” katanya dalam satu kenyataan.