Lebih 1,700 golongan LGBT dihantar kem pemulihan akhlak

KERAJAAN telah menghantar seramai1,733 individu dalam kalangan golongan LGBT ke kem pemulihan yang dikendalikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Memetik laporan The Malaysia Insight, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa program yang dikenali sebagai Mukhayyam merupakan inisiatif kerajaan Malaysia untuk memulihkan ‘gaya hidup’ dan ‘orientasi seksual’ mereka yang berada di dalam kelompok LGBT.

“Kerajaan serius dengan isu yang melibatkan golongan LGBT di negara ini kerana Malaysia adalah negara yang menganut agama Islam.” katanya ketika menjawab persoalan di Parlimen.

Terdahulu, isu berkenaan dibangkitkan salah seorang Ahli Parlimen, Abdullah Sani Abdul Hamid berhubung tindakan kerajaan terhadap golongan LGBT di negara ini.

Ujar Ismail Sabri, kem pemulihan berkenaan bakal menumpukan beberapa isu antaranya berhubung kesedaran kesihatan seperti HIV dan AIDS.

Program berkenaan telah mendapat kerjasama beberapa Jabatan Agama Islam negeri, Kementerian Kesihatan, majlis agama negeri dan pihak berkuasa zakat (sedekah).

“Mana-mana individu yang melanggar undang-undang harus menghadapi tindakan.

Namun, pada masa yang sama, mereka harus dibimbing dan diberi perhatian agar mereka dapat kembali ke jalan yang benar,” katanya lagi.