Suspek Nekad Langgar Anggota JPJ Rupanya Tiada Lesen Memandu, Cukai Jalan Tamat Tempoh

Foto: Kosmo

PORT DICKSON – Suspek yang bertindak nekad melanggar seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan ketika Operasi Penguatkuasaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer (KM) 28 Lebuh Raya Seremban, di sini pagi tadi, mempunyai lapan rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan jenayah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya telah menerima laporan pada 12.51 tengah hari tadi daripada seorang pegawai penguat kuasa JPJ mengenai insiden tersebut.

Menurutnya, motosikal yang ditunggangi suspek secara tiba-tiba dipandu laju dipercayai untuk meloloskan diri dan merempuh seorang anggota penguat kuasa JPJ semasa ingin dibuat pemeriksaan.

“Suspek yang ditangkap berusia 25 tahun itu juga tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh. Suspek akan dibawa ke Mahkamah Port Dickson esok untuk proses tahan reman.

“Kes disiasat di bawah Sek 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelas Aidi Sham lagi, anggota JPJ tersebut kemudiannya telah di bawa ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan kecil di bahagian kaki dan tangan.

Walaubagaimanapun menurut beliau, tiada kecederaan serius yang dialami dan anggota JPJ berkenaan dirawat sebagai pesakit luar.

Terdahulu, tular video berdurasi lima saat memaparkan anggota JPJ terpelanting dan terhantuk di kepala akibat rempuhan itu.

Sumber: Kosmo