Suruhanjaya Tenaga gempur dua premis di Shah Alam yang melombong Bitcoin haram

KEGIATAN perlombongan bitcoin secara haram dengan mencuri bekalan elektrik berjumlah kira-kira RM240,000 sejak enam bulan lepas, terbongkar, selepas dua premis di Eco Ardence, di sini, digempur pihak berkuasa hari ini.

Pengarah Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST) Md Zakuan Ibrahim berkata tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dilaksanakan pihaknya bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), sekitar 10 pagi tadi di premis di rumah kedai dua tingkat itu.

Md Zakuan berkata pihaknya menemukan sekitar 90 mesin bitcoin dengan nilai keseluruhan RM450,000 ditempatkan di kedua-dua premis itu dan sindiket berkenaan melakukan sambungan meter terus secara haram serta pengubahsuaian meter untuk mencuri bekalan elektrik.

“Semakan lanjut turut mendapati salah satu daripada premis itu pernah dikenakan tindakan oleh TNB pada Mei tahun lalu dan kami sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), Jika sabit kesalahan, syarikat atau individu itu berdepan denda sehingga RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya kepada Bernama selepas operasi.

Md Zakuan berkata operasi tersebut dijalankan hasil risikan TNB selama tiga bulan berikutan bacaan rekod meter eletrik yang tidak selari dengan hasil kutipan diperoleh penyedia utiliti dan pihaknya sedang menyiasat hubung kait antara kedua-dua premis tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemilik premis untuk berwaspada dalam menyewakan premis mereka kepada mana-mana pihak dan prihatin dengan aktiviti dijalankan penyewa.

“Selain itu, pemilk premis digalakkan membuat pertukaran nama akaun (COT) ke atas nama penyewa dalam tempoh penyewaan bagi memastikan pengurusan akaun yang lebih teratur selain menjaga kepentingan pemilik premis,” katanya.

Grang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan haram itu diminta supaya menghubungi ST di talian 03-8870 8800 atau email ke eaduan@st.gov.my.

Sumber gambar tajuk – Yahoo | Sumber laporan – Bernama