Ukraine Akan Boikot Sukan Olimpik Paris 2024 Jika Russia Dan Belarus Dibenarkan Bertanding

Foto : SportsPro Media

LONDON – Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal memberi amaran, negaranya bersedia memboikot Sukan Olimpik 2024 di Paris jika Russia dan Belarus dibenarkan bertanding.

Shmyhal menyatakan pendirian itu selepas Majlis Jawatankuasa Olimpik Ukraine (NOCU) berkata, bahawa pihaknya masih belum membuat keputusan berkaitan perkara tersebut.

“Ukraine nekad, pakatan antarabangsa yang kuat untuk keadilan dalam sukan telah dibentuk, melibatkan 35 negeri.

“Bersama-sama, kami bersedia memboikot Sukan Olimpik jika Russia dan Belarus dibenarkan menyertai pertandingan,” kata Shmyhal.

Presiden NOCU dan Menteri Sukan Ukraine, Vadym Gutzeit sebelum itu memberitahu agensi berita Jepun, Kyodo News, mereka akan membatalkan rancangan untuk tidak menyertai Olimpik Paris 2024 jika Russia dan Belarusia diberi peluang untuk bersaing di bawah bendera neutral.

NOCU telah bergerak pantas untuk menjelaskan komen Gutzeit, yang dipetik oleh Kyodo News sebagai berkata: “Atlet kita perlu berada di Sukan Olimpik.

“Bendera kami akan berada di Majlis Perasmian pada pertandingan, atlet kami akan mewakili negara kami supaya semua orang di dunia akan melihat Ukraine”.

Bagaimanapun, NOCU menegaskan ini tidak bermakna mereka telah memberi lampu hijau kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk membenarkan atlet dari Russia dan Belarus ke Paris 2024.

Sumber : Utusan Malaysia