‘Selfie’ Selepas Tumbuk Muka Pekerja 7-Eleven, Dua Lelaki Mabuk Dicari Polis

Foto : Vocket

Hanya kerana ditegur tidak membuat pembayaran tiga batang payung di kaunter, seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam dipukul oleh seorang lelaki di sebuah premis sekitar Bandar Rinching, Semenyih, pagi semalam.

Beberapa klip rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan dua individu lelaki terlibat dalam insiden memukul pekerja terbabit tular di laman sosial hari ini.

Selain rakaman tersebut, gambar swafoto yang diambil oleh seorang lagi suspek bersama mangsa yang telah dipukul juga turut tular.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.43 pagi semalam.

Katanya, menurut laporan daripada pengadu yang juga merupakan mangsa kejadian, premis tersebut telah didatangi oleh dua lelaki tempatan yang tidak dikenali mahu membeli minuman sekitar pukul 5 pagi.

Foto : Kosmo

“Salah seorang dari suspek telah mengambil tiga batang payung dan keluar dari premis tanpa mahu membuat sebarang bayaran. Mangsa bertindak menegur lelaki tersebut dan berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek.

“Suspek kembali ke dalam premis lalu menumbuk mangsa di bahagian muka sebelum beredar meninggalkan premis,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Zaid memberitahu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan usaha untuk mengesan suspek sedang giat dijalankan.

“Mana-mana individu mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi mana-mana balai polis di bawah IPD Kajang di talian 03-89114222 atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nur Fatihah Awang di talian 011-25703695,” katanya. 

Sumber : Kosmo