Pemandu Positif Dadah Rempuh 3 Kereta Ketika Cuba Lari Pemeriksaan Polis

Foto : kosmo

PETALING JAYA – Tindakan pemandu trak pikap merempuh tiga kenderaan awam bagi melarikan diri daripada diperiksa polis mengundang padah apabila ditahan di bahu jalan, Plaza 33, di sini, semalam.

Kejadian pada pukul 7.25 petang itu turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamin dan seorang orang awam turut tercedera disebabkan tindakan lelaki terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya ketika itu terlihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan di Jalan 19/1, di sini.

Katanya, ketika cubaan memeriksa dilakukan, pemandu trak pikap jenis Ford Ranger berkenaan terus memecut dengan laju serta memandu dalam keadaan merbahaya hingga menyebabkan tiga kenderaan awam lain dilanggar.

“Tindakan suspek yang cuba melarikan diri juga telah menyebabkan seorang orang awam mengalami kecederaan ringan di bahagian betis kiri dan kanan.

“Suspek warga tempatan berusia 43 tahun tersebut ditahan dan didapati positif dadah jenis methamphetamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Mohamad Fakhrudin, lelaki terbabit ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan memberikan kerjasama pada pihak polis yang menjalankan tugas. 

Sumber : Kosmo