Road tax mati serta tiada lesen memandu, pemandu wanita Myvi viral sah positif dadah methamphetamine

6386

MEMANG sah memandu di bawah pengaruh dadah, road tax kereta pun mati, lesen memandu apatah lagi. Tiba-tiba kata nak mengelak kereta lain sebelum merempuh Honda Accord ni apa cerita?

Itu siasatan awal polis terhadap pemandu wanita kereta Perodua Myvi yang mengakibatkan kemalangan maut di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi, Johor yang telah ditahan bagi membantu siasatan pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain, berkata, ujian air kencing terhadap wanita berusia 23 tahun ditahan itu juga didapati positif dadah.

Hasil ujian air kencing mendapati pemandu Myvi terbabit sah memandu di bawah pengaruh dadah.

“Pemandu Myvi sudah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saringan awal air kencing mendapati positif dadah. Turut siasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu, viral video menerusi rakaman kamera perakam video (dashcam) berdurasi 37 saat memaparkan berlaku insiden kereta Honda Accord berwarna putih terbalik selepas dilanggar kenderaan lain dalam kejadian berhampiran dengan lampu isyarat.

Baca juga:   Tun M Menegur Sikap Ahli Parlimen

Mohd. Padzli menerusi kenyataan berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada pemandu kereta jenis Myvi dipercayai hilang kawalan.

Katanya, pemandu itu kemudiannya terbabas melanggar tembok batu pembahagi jalan dan seterusnya melanggar dua kenderaan lain yang berada di persimpangan lampu isyarat menghala ke Plaza Pelangi Johor Bahru.

Kereta Honda Accord anggota TLDM yang maut dirempuh.

“Akibat daripada kemalangan terbabit, pemandu kenderaan jenis Honda Accord mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.

Semalam, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan Mohd. Rizal Buseri, 31, yang memandu Honda Accord maut di tempat kejadian manakala pemandu Myvi, Nur Fatin Nazrah, 23, dan seorang lagi mangsa, Chang Ah May, 78, mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, pemandu Myvi itu dipercayai tidak mempunyai lesen memandu kenderaan, selain cukai jalan dipercayai sudah tamat tempoh.

Tangkap layar siasatan netizen mendapati pemandu wanita Myvi itu pernah disaman kerana tidak memiliki lesen memandu selain cukai jalan juga telah tamat tempoh.

Dalam pada itu, polis menyangkal dakwaan pemandu kereta Perodua Myvi yang dikatakan cuba mengelak kenderaan berhenti di depannya hingga terlibat dalam kemalangan itu.

Baca juga:   Paksa oral seks kerana dendam

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, rakaman video yang viral di media sosial jelas menunjukkan kereta dipandu wanita berusia 23 tahun itu merempuh kereta Honda Accord dinaiki mangsa hingga kedua-dua kereta terbalik.

Katanya, video tersebut turut membuktikan dakwaan wanita itu tidak benar sama sekali terdapat kereta lain di hadapan keretanya melainkan tindakannya memecut laju ketika sampai di lokasi kejadian.

“Dakwaan ada kereta berhenti di hadapannya, tidak benar. Dia memang laju.

“Ada banyak kesalahan yang dilakukan. Tidak mempunyai lesen kenderaan, cukai jalan tamat tempoh, positif methamphetamine lagi,” katanya.

Sumber: Kosmo!