Polis Siasat Video Ajak Orang Ramai Sertai ‘Perhimpunan Selamatkan Malaysia’

Foto: Kosmo Digital

KUALA LUMPUR, 13 September- Polis mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka berhubung video berkaitan penganjuran ‘Perhimpunan Selamatkan Malaysia’ yang akan diadakan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Sabtu ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid menerusi satu kenyataan berkata ia laporan mengenai satu paparan klip video menerusi laman sosial oleh seorang individu yang menyeru orang ramai menyertai himpunan tersebut.

“Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini lima laporan diterima berhubung paparan klip video terbabit dengan dua individu telah direkodkan keterangan manakala empat lagi akan dipanggil bagi dirakam keterangan dalam masa terdekat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan apa-apa perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang. Tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, satu video berdurasi 55 saat memaparkan seorang lelaki mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan terbabit sempena Hari Malaysia dan mengenakan baju berwarna putih sebagai tanda sokongan.

Dalam kes berasingan, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan susulan tindakan 20 individu yang cuba berarak ke bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kumpulan tersebut ingkar arahan polis apabila diarahkan untuk tidak berarak ke Parlimen kerana penyerahan memorandum itu telah diselaraskan oleh pihak Parlimen untuk diadakan di Tugu Negara.

“Individu yang terlibat telah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.