Polis Johor Tahan 13 Pemandu Lori ‘Lalok’

Foto: Portal Berita RTM

JOHOR BAHRU, 22 September- Polis Johor menahan 13 pemandu lori kerana didapati positif dadah menerusi Op Perdagangan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Johor malam tadi.

Sebanyak 210 saman turut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 730 kenderaan perdagangan dalam operasi yang berlangsung di seluruh negeri itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata dua orang pemandu lori turut ditahan kerana tersenarai sebagai orang dikehendaki mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kesemua pemandu yang ditahan itu berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun.

“Fokus utama operasi ini adalah untuk menyelesaikan isu yang sering diterima berdasarkan aduan awam dan tular di media sosial berkaitan isu kenderaan perdagangan.

Jelas Kamarul Zaman, menerusi 13 operasi yang dijalankan di seluruh negeri, terdapat segelintir pemandu lori terjebak dengan penyalahgunaan dadah melalui ujian urin yang dilakukan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.