Polis dedah identiti suspek kes samun kedai emas

POLIS mendedahkan identiti bagi suspek kes samun kedai emas berjumlah RM50,000 yang berlaku di Kepong pada 22 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, suspek terdiri daripada empat individu bersenjatakan kapak dan tukul yang telah memecahkan kaunter cermin di premis berkenaan.

“Suspek menggunakan dua buah motosikal yang mana setiap satunya ditunggang dua individu.

“Semakan terhadap nombor pendaftaran motosikal tersebut juga didapati palsu,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Polis dalam masa sama mendedahkan beberapa imej saksi berdasarkan keterangan yang telah dibuat saksi.

Pihak polis menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.