Polis Bantuan Cemas Terserempak Dengan Harimau

Foto : Kosmo

HULU SELANGOR – Seorang anggota polis bantuan membuat laporan selepas mendakwa terserempak dengan seekor harimau belang di kilometer 18 Jalan Batang Kali – Genting Highlands, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 56 tahun itu pada pukul 9.07 pagi.

Katanya, pihaknya telah menghubungi Jabatan Perhilitan Daerah Hulu Selangor untuk membantu usaha mengesan harimau belang sejurus terima laporan itu.

“Hasil daripada siasatan dan pemerhatian sekitar kawasan terbabit tiada sebarang kesan dan tapak hidupan liar itu ditemui ekoran faktor muka bumi yang padat dan daun pokok yang tebal daripada jenis akasia.

“Tindakan susulan Jabatan Perhilitan Daerah Hulu Selangor memasang perangkap kamera di lokasi bersesuaian untuk mengesahkan kehadiran harimau belang berikut,” katanya dalam kenyataan.

Tegas beliau, orang awam dinasihatkan supaya berwaspada ketika melakukan sebarang aktiviti di kawasan terbabit bagi mengelakkan berlakunya insiden yang tidak diingini.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat penemuan berkenaan harimau belang itu, boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641222,” katanya.

Sumber : Kosmo