Pesakit Mental Ditahan Kerana Hantar E-mel Ancaman Bom Palsu

Gambar hiasan | Gambar : My TV Online

Seorang pesakit mental ditahan polis selepas disyaki menghantar emel mengenai ancaman bom yang disahkan palsu di sebuah pusat membeli belah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata lelaki 43 tahun itu ditahan jam 11. 30 malam tadi susulan laporan polis yang diterima kira-kira jam 4.57 petang semalam oleh pengurus pusat membeli-belah terbabit.

Yahaya berkata, sekitar jam 2.56 petang semalam, pengurusan pusat beli-belah itu menerima emel daripada individu tidak dikenali menyatakan terdapat ancaman bom di bangunan premis itu dan meminta meningkatkan langkah-langkah keselamatan.

Katanya, susulan itu anggota dari Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bangunan itu namun mengesahkan maklumat ancaman bom terbabit adalah palsu.

“Siasatan polis berjaya membuat tangkapan suspek warga tempatan di Kampar selain turut merampas alat komunikasi yang digunakan suspek.

“Suspek mempunyai sejarah penyakit psikiatri dan sedang menerima rawatan di klinik pakar psikiatri Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati dia tidak di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya lagi, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Sumber : Harian Metro