Pergerakan Kumpulan Ajaran Sesat SiHulk Di New Zealand Sedang Dipantau Oleh Agensi Kerajaan Malaysia

Foto : newswav

Kuala Lumpur – Semua agensi kerajaan yang terbabit sedang meneliti dan memantau pengikut kumpulan ajaran sesat SiHulk, termasuk ketuanya Suhaini Mohammad, yang kini berada di New Zealand dan menjadikan negara itu sebagai ‘negara pelindung’ apabila gerak geri mereka mula dihidu pihak berkuasa di Malaysia.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand berkata, perkara ini memandangkan ajaran ini diputuskan sebagai suatu elemen ajaran sesat dan bercanggah daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Sunnah Wal Jamaah oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke -117 yang bersidang pada 25 sehingga 29 Ogos 2020.

Menurutnya, namun apa jua tindakan Kerajaan Malaysia melalui agensi kerajaan Malaysia di luar negara, ia harus juga meneliti dan menghormati undang-undang kerajaan tempatan.

“Setakat ini, kita tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai 150 pengikut yang dilaporkan berada di New Zealand.

“Ini adalah kerana New Zealand tertakluk kepada Akta Kerahsiaan 2020 (Privacy Act 2020) yang melindungi privasi dan hak individu daripada pengetahuan umum,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau warga Malaysia yang berada di New Zealand.

“Menurut undang-undang imigrasi New Zealand, seseorang yang tinggal di New Zealand selepas visanya tamat tempoh akan menjadi suatu kesalahan yang menyalahi undang-undang di New Zealand dan oleh itu, individu terbabit adalah bertanggungjawab untuk pulang.

“Kita juga menerima beberapa aduan daripada komuniti Malaysia yang beragama Islam berhubung kehadiran kumpulan terbabit,” katanya.

Tambahnya, antara aduan yang dibangkitkan adalah kerisauan akan pergerakan kumpulan yang dilaporkan mengamalkan ajaran sesat serta kebimbangan terhadap imej Malaysia terjejas akibat daripada penyebaran ajaran sesat oleh kumpulan ini.

Sebelum ini, Metro Ahad melaporkan pengakuan ketua ajaran terbabit, Suhaini berhubung tafsirannya mengenai dua kalimah syahadah yang jauh menyimpang daripada maksud sebenar.

Selain itu, akhbar ini secara eksklusif juga melaporkan terdapat kira-kira 150 pengikut kumpulan itu termasuk Suhaini kini berada di New Zealand dan menjadikan negara itu sebagai ‘negara pelindung’ apabila gerak geri mereka mula dihidu pihak berkuasa di Malaysia.

Sumber : Harian Metro