Perbincangan penyasaran subsidi sudah dipersetujui sejak 25 tahun lalu – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa perbincangan berkenaan penyasaran subsidi negara yang dilaksanakan kerajaan sebenarnya dasar yang dipersetujui sejak 25 tahun lalu.

Beliau menyuarakan tentang langkah itu tidak dilaksanakan kerana pimpinan pada ketika itu lebih kepada memikirkan soal kelangsungan politik selain, penyasaran subsidi tersebut tidak mudah dilunaskan.

“Dasar (penyasaran subsidi) baik. Semua Perdana Menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi. Perkara ini dibincangkan semasa saya jadi Menteri Kewangan dulu.

“Lebih 25 tahun yang lalu sudah dibincangkan perlunya penyasaran subsidi, tapi tak upaya dilakukan kerana tak mudah. Biasanya pemimpin politik ini dia fikir kesan kepada pimpinan.

“Apa pun kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memang membebankan. Itu pandangan politik,” katanya dalam ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan yakin langkah diputuskan ini baik, khususnya untuk memastikan subsidi negara hanya diberi kepada mereka yang layak.

“Dalam pertimbangan kita (kerajaan), kita sudah buat keputusan yang baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tak seharusnya beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar dan orang asing.

GAMBAR-PORTAL-98.jpg

“Bukan diskriminasi kepada orang asing kerana orang asing tak bayar cukai, cukai levi yang sangat kecil. Kita teliti dan dalam Jemaah Menteri pun hampir setiap minggu mendapat liputan dan perkembangan untuk pastikan pelaksanaan (penyasaran subsidi) ini berkesan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menerima segala kritikan dan kecaman dengan keputusan kerajaan dalam penyusunan semula agihan subsidi negara.

Sementara itu, netizen mula memenuhi sosial media dengan kecaman dan kritikan serta keluhan berkenaan keputusan kerajaan mengapungkan harga diesel.

Langkah penyasaran yang terbaharu dibuat selepas kerajaan sebelum ini membuat penyasaran ke atas tarif elektrik, selain subsidi kepada ayam berjumlah RM120 juta sebulan atau RM1.2 bilion setahun dimansuhkan.