Penunggang Motosikal Maut Dilanggar Tiga Motosikal

Foto : Kosmo

KUANTAN – Seorang penghantar barang maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar tiga buah motosikal di Kilometer 191.5 Lebuh Raya Pantai Timur 1 di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 11 malam itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Zul Harif Aizil Mohd Zulazreen, 21, dalam perjalanan dari arah Maran menghala ke Kuantan.

“Apabila tiba di tempat kejadian mangsa yang sedang bergerak lurus dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR hilang kawalan dan terbabas lalu dilanggar tiga buah motosikal yang datang dari arah belakang.

“Akibat kejadian mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala tiga lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan giat dilakukan.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian permukaan jalan kering dan cuaca baik. 

Sumber : Kosmo