100 Rumah Rosak Dibadai Ribut

Foto : Utusan Malaysia

KUALA NERUS – Lebih 100 buah rumah di Seberang Takir di sini mengalami kerosakan selepas dilanda ribut dalam kejadian malam semalam.

Seorang warga emas, Kamaruddin Jusoh, 69, dari Kampung Telaga Daing, berkata, kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu disedari ketika dia bersama lima lagi ahli keluarga sedang berehat di rumah.

Menurutnya, hampir separuh struktur atap kediamannya tercabut diterbangkan ribut selepas hujan lebat melanda sejak pukul 6.30 petang.

“Ketika kejadian hujan lebat, saya dan isteri, Zaharah Ibrahim, 60, serta empat orang anak sedang bersiap solat Maghrib sebelum bunyi dentuman kuat mengejutkan kami enam beranak.

“Lebih 20 keping atap di bahagian ruang tamu dan bilik tidur diterbangkan ribut sehinggakan kami tidak mampu berbuat apa-apa, hanya terfikir untuk melaungkan azan sahaja.

“Perabot seperti almari, kerusi dan katil turut rosak, malah bekalan elektrik juga terputus. Kami hanya tidur di tingkat bawah rumah yang terlindung daripada hujan lebat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, penduduk Kampung Teluk Ketapang, Ismail Said, 60, berkata, kejadian tersebut disifatkan yang paling teruk sejak mendiami rumah itu lebih 40 tahun lalu.

“Saya bergegas pulang ke rumah pada pukul 6.45 petang dan mendapati sebahagian atap telah tiada sehingga hujan membasahi bahagian ruang tamu dan merosakkan perabot serta peralatan elektrik.

“Keadaan dalam rumah juga dipenuhi sisa runtuhan atap menyebabkan kami hanya tidur di bahagian dapur dengan perasaan penuh kerisauan jika berlaku litar pintas,” ujarnya.

Sementara itu, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata, bantuan segera akan diberikan kepada penduduk terlibat bagi membaiki kerosakan kediaman masing-masing.

“Selain menggunakan peruntukan sendiri, kita boleh pohon bantuan kerajaan negeri kerana bencana alam ini juga menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa buah jalan dan rumah.

“Untuk langkah segera, kita akan bantu dengan membeli atap baharu serta menyediakan tukang rumah kepada mangsa bagi membaiki kerosakan yang ada,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia