Penumpang Vietnam Cuba Seludup 10Kg Tikus Salai Berjaya Dikesan Di Pulau Pinang

CUBAAN membawa masuk 10 kilogram tikus salai tanpa kebenaran, gagal selepas tindakan itu berjaya dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Hasil dagangan berkenaan cuba dibawa masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini, semalam.

Pengarah MAQIS negeri, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, kesemua tikus salai itu dikesan ketika pemeriksaan bagasi menerusi mesin pengimbas terhadap seorang penumpang dari negara Vietnam.

Katanya, kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM1, 000.

“Perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh di hukum mengikut Seksyen 11(3), Akta yang sama.

“Individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Muhammad Ikram berkata, MAQIS sentiasa mengambil langkah serius dalam isu berkenaan bersama agensi penguatkuasaan di sempadan kerana ia membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

“Seperti yang kita sedia maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya lagi.

Sumber gambar & laporan – Harian Metro