Peniaga, Penjaja Tempatan Risau Pelanggan Lebih Pilih Makan Kedai ‘Toye’ Dari Thailand

SEGELINTIR peniaga dan penjaja kecil di negeri ini melahirkan keresahan ekoran jualan yang merosot sehingga 50 peratus sejak kebelakangan ini kerana kekurangan pelanggan.

Menurut Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah, Baharudin Mohd. Ali, pihaknya tidak menolak andaian masalah ekonomi dan sikap berjimat cermat dalam kalangan penduduk ketika ini menyumbang kepada perkara itu.

“Ramai peniaga dan penjaja gerai makanan khususnya mengeluh nak dapat RM100 sehari pun susah. Sehari kadang-kadang boleh dapat RM50 sahaja sebab pelanggan semakin berkurangan.

“Kedai makan yang popular dan sering jadi tumpuan itu tidak ada masalah. Pergilah tengok medan selera, bagaimana kea­daannya, banyak kedai yang tidak buka, malah ada yang sudah tutup kerana pelanggan semakin kurang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau memberitahu, keadaan itu semakin ketara selepas Hari Raya Aidilfitri lalu.

“Lebih teruk apabila bahan mentah mengalami kenaikan harga sehingga menambah kos operasi kami,” ujarnya.

Katanya, situasi lebih parah bagi peniaga kedai makan makanan laut dan tomyam yang kini terpaksa bersaing dengan peniaga dari negara jiran.

“Sekarang gerai dan restoran dari Thailand ini sudah berope­rasi semula selepas Covid-19 reda, malah semakin bertambah jadi pelanggan banyak yang memilih gerai mereka dan peniaga kita semakin terpinggir.

“Banyak peniaga merungut terpaksa tutup sementara kedai atau gerai mereka dan buka pada hari tertentu sahaja. Kalau buka, pelanggan tidak ada rugilah makanan yang sudah dimasak. Nak tutup pula, itulah punca pendapatan mereka,” keluhnya.

Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan nasib penjaja gerai di jalanan apabila lesen zon perniagaan bebas itu akan tamat pada hujung tahun ini.

“Ini pun satu masalah menanti peniaga kecil kerana sekarang banyak yang sudah selesa berniaga di jalanan,” jelasnya.

Sumber gambar – Kosmo Digital | Sumber laporan – Kosmo! Online