Penduduk di Kapar Sengsara Sampah Menggunung

Gambar : Harian Metro

Kawasan ini begitu indah dengan langit yang membiru dan alam semula jadi menghijau sejauh mata memandang.

Selain dengungan perlahan daripada pilon rangkaian grid nasional berhampiran, tiada bunyi lain yang kedengaran.

Namun, suasana itu tidak menjanjikan kedamaian.

Bau plastik terbakar memenuhi ruang udara, sementara tanah yang dipijak pula adalah sisa plastik dan getah hancur yang ditambun mampat hingga membentuk bukit setinggi kira-kira 10 meter, meliputi kawasan seluas dua hingga 3.2 hektar di timur ladang ternakan ayam Lay Hong Feedmill dan depoh kenderaan berat dan jentera di Kapar, Klang.

Di pinggir kawasan pembuangan sampah itu, beberapa timbunan sampah sedang membara, mengeluarkan asap dan entah apa lagi.

“Ambil nafas, rasa tak sedap. Kita duduk kampung, pokok banyak, tapi tak nyaman. Memang rasa sangat bahaya,” kata Mohd Masrobi Zakaria, penduduk Kampung Sungai Serdang yang terletak berhampiran tapak itu sambil batuk-batuk.

Menurut lelaki itu, selepas penyakit asma yang dihidapi anak lelakinya semakin teruk selain aduan penduduk mengenai masalah pernafasan yang dialami mereka, terbongkarlah kewujudan tapak pelupusan haram mega terbabit pada awal tahun ini.

Katanya, walaupun kegiatan membuang sampah secara haram di situ sudah berlaku sejak 2017, skalanya kecil tidak seperti sekarang dengan pakar menganggarkan berat sampah terkumpul di situ sekitar 30,000 hingga 50,000 tan.

Untuk membersihkan sisa terbabit pastinya sukar. Lebih penting lagi, bagaimana ‘gunung’ sampah terbabit akan dibersihkan dan siapa yang akan membersihkannya?

Isu ini menjadi penghalang kepada semua pihak terbabit.

Masing-masing menuding jari dengan penduduk menuntut pihak berwajib membersihkan sampah terbabit, pihak berkuasa yang baru sedar tidak mudah untuk mereka membersihkan kawasan itu serta pemilik tanah yang menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana membiarkan masalah terbabit berpanjangan.

Sumber : Harian Metro