Pelanggan Tak Puas Hati, Kedai Sengaja Tidak Pulangkan Baki 5 Sen Mahu ‘Untung Atas Angin’

Foto : Kosmo

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa tidak puas hati terhadap peniaga yang tidak mahu memulangkan baki 5 sen tanpa sebarang penjelasan.

Menurut hantaran tular di laman Facebook, wanita tersebut mengakui sering menjadi mangsa penipuan juruwang yang sengaja tidak memulangkan baki 5 sen.

“Apabila ditanya, mana baki saya lagi 5 sen, juruwang buat endah tidak endah sahaja. Minta maaf pun tidak. Hanya tersengih-sengih.

“Katanya, kedai tidak ada 5 sen, jadi dia (juruwang) tidak dapat pulangkan baki,” katanya lagi.

Berasa tertipu, wanita tersebut terus memaksa dengan harapan juruwang tersebut akan memulangkan baki yang sepatutnya.

“Bagaimanapun, dia (juruwang) tersebut langsung tidak mahu bekerjasama dan menganggap tindakan tersebut merupakan perkara biasa.

“Dia (juruwang) juga kata, kadangkala ada pembeli yang bayar lebih dan tidak pernah meminta baki,” katanya dalam hantaran sama.

Tambahnya, tindakan tidak bertanggungjawab tersebut membolehkan pihak peniaga untung ‘atas angin’ walaupun jumlahnya tidaklah sebesar mana.

“Cuba bayangkan, dalam seminggu berapa ramai yang menjadi mangsa penipuan sama.

“Kedai yang saya pergi itu ada banyak cawangan di seluruh Malaysia. Berapa banyak untungnya,” katanya.

Bagaimanapun, selepas beberapa minit bergaduh dengan juruwang, wanita tersebut akhirnya mendapat wang baki 5 sen setelah pengurus masuk campur.

“Sebenarnya ada je 5 sen, tapi sengaja tidak mahu bagi,” ujarnya.

Sumber : Kosmo