Pelaksanaan MyTrip permudah perjalanan rentas sempadan

Bermula 1 Jun 2024, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menjalankan pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR MyTrip melalui aplikasi MySejahtera. Menurut akaun Facebook rasmi JIM, pelaksanaan ini adalah tempoh percubaan (Proof of Concept – POC) selama tiga bulan dan akan diperluaskan untuk pelaksanaan penuh.

Pemeriksaan digital ini akan memastikan proses pelepasan imigresen yang cepat dan lancar di pintu masuk negara. Pendaftaran MyTRIP telah mula dibuka, dan untuk fasa pertama, kemudahan ini dibuka kepada warganegara Malaysia yang menggunakan pintu masuk CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) melalui laluan bas dan motosikal.

Kemudahan ini akan diperluaskan ke pintu masuk dan mod pengangkutan lain secara berperingkat. Pengguna telefon pintar hanya perlu melakukan tiga langkah mudah untuk menggunakan MyTrip: pastikan aplikasi MySejahtera terkini dengan ciri MyTrip dimuat turun, hubungkan pasport dengan klik ikon MYTRIP dan isi maklumat pasport, dan paparkan kod QR semasa pemeriksaan imigresen.

Tempoh percubaan ini diberikan sehingga 31 Ogos 2024, dan pasport perlu dibawa bersama sebagai dokumen perjalanan utama. Sumber Malaysia Bangkit