Pelajar Cemerlang SPM 2022 Teruja Terima Lesen Memandu Dari Timbalan Menteri

Foto : Utusan Malaysia

BACHOK – Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Muhammad Syahril Saidi, 18, yang tular menjaga ibu sakit sehingga meninggal dunia teruja menerima lesen memandu motosikal (B2) dan kereta (D2) daripada Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah di Pentas Utama Dewan Tangok, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, di sini hari ini.

Dia yang sedang mengikuti Program Asasi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Kampus Bachok mendapat tajaan penuh untuk menggil lesen menadu.

Muhammad Syahril menyifatkan peluang bertemu dan bersalam semasa menerima lesen daripada pemimpin negara itu menjadi detik terindah dalam hidupnya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dan prihatin terhadap perjalan hidup saya sebelum ini.

“Syukur, Allah permudahkan jalanan hidup. Apa pun saya tetap merindui arwah ayah dan ibu tersayang yang menerima ketentuan tidak berkesempatan melihat kejayaan anaknya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Syahril memberitahu, keprihatinan pengurusan Akademi Amkist Kandis membayar semula caj pengambilan lesen memandu dan menaja keseluruhan proses amat dihargai.

Katanya, dengan adanya lesen memandu ia akan memudahkan segala urusan selepas ini.

“Selepas ini dapatlah saya memberikan fokus kepada pengajian di Akademi Pengajian Islam UM Kampus Bachok.

“Walaupun jarak rumah dengan kampus hanya dua kilometer, saya mengambil keputusan untuk menetap di kampus,” ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia