MSU Rangkul Dua Anugerah ACEEU Di Barcelona

Foto : MSU

KUALA LUMPUR – Management and Science University (MSU) merangkul anugerah Green University of the Year bersempena penganjuran Triple E Awards 2023 oleh Accreditation Council for Entrepreneurial and Engaged Universities (ACEEU) di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini.

MSU juga menerima dan mengungguli kategori Anugerah People Choice Award selain tersenarai sebagai lima teratas bagi Engaged University of the Year.

MSU dalam satu kenyataan berkata, pencapaian itu mengiktiraf pembabitan cemerlang dan komitmen pihaknya dalam aktiviti khidmat masyarakat, keusahawanan dan kelestarian alam sekitar merentasi sempadan.

“Pengiktirafan MSU sebagai penerima anugerah Global Green University of the Year menyerlahkan komitmen yang jitu terhadap amalan kelestarian terhadap alam sekitar melalui pelaksanaan pelbagai strategi inovatif seperti mengurangkan pelepasan karbon, memulihara sumber, dan mempromosikan inisiatif mesra alam.

“Kerjasama pintar bersama organisasi dan institusi penyelidikan melalui pembangunan projek yang memberikan impak kepada masyarakat telah memperkasakan lagi matlamat pembangunan mampan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, penyenaraian MSU sebagai lima teratas bagi Engaged Global University of the Year pula menunjukkan bahawa usaha secara konsisten pihak universiti dalam melaksanakan pelbagai aktiviti berbentuk khidmat masyarakat khususnya dalam aspek pendidikan, penjagaan kesihatan serta pembasmian kemiskinan turut memberikan impaknya yang tersendiri kepada warga kampus serta masyarakat.

Selain itu, MSU turut meraih Anugerah People Choice Award apabila menerima undian tertinggi di peringkat global bersempena Triple E Awards 2023.

“Ianya membuktikan usaha MSU ini dalam melaksanakan aktiviti yang memberi impak kepada masyarakat turut mendapat sokongan universiti dan institusi di peringkat global.

“Antara kategori yang dipertandingkan termasuklah Global, Amerika, Afrika dan Asia Pasifik, mengiktiraf komitmen dan inspirasi kepada universiti dan institusi di seluruh dunia untuk terbabit secara lebih aktif dalam menjalankan program-program yang memberi impak positif kepada masyarakat,” katanya.

Sumber : Berita Harian