Aina Abdul Bersikap Terbuka Menerima Teguran Kerana Berfesyen Pelik

KUALA LUMPUR – Penyanyi popular, Aina Abdul bersikap terbuka dengan kritikan ramai membabitkan fesyen pelik yang masih terus diperkatakan hingga hari ini.

Meluahkan isi hati menerusi perkongsian dalam Instagram Story (IGs), Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata, dia membaca setiap komen ditulis dalam media sosial berhubung kontroversi penampilannya itu.

“Selalunya Aina jarang sekali luah isi hati. Memang itu cara Aina. Tetapi hari ini Aina terpanggil nak tulis sesuatu.

“Ya, Aina baca dan telitikan semua. Aina renungkan setiap teguran yang masuk.

“Terima kasih kepada semua yang ambil berat, menegur untuk kebaikan, tinggalkan komen baik-baik,” tulisnya.

Sehubungan itu, penyanyi Terus Hidup ini berjanji mengambil kira setiap pandangan dilontarkan demi kebaikan masa depan.

“Aina sangat hargai, Alhamdulillah. Aina cuba yang lebih baik selepas ini okay? Buat masa ini, kita nikmati dulu pemandangan ini,” coret Aina.

Terdahulu, kemunculan Aina pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 dengan busana pelik blazer gergasi rona merah bersaiz empat kaki bukan sahaja mencuri perhatian, tetapi turut mengundang kecaman netizen.

Busana pelik penyanyi bervokal mantrap itu turut mendapat perhatian seorang pensyarah apabila menggunakan gambar milik Aina ketika membuat pencerahan mengenai larangan mengenakan pakaian pelik dalam Islam.

Sumber : Berita Harian