Jocelyn Chia Dibuang Keluarga, Ibu Bapa Rasa Kecewa Dengan Perangai Anak Yang Memalukan

Foto : Harian Metro

Kuala Lumpur – Kontroversi demi kontroversi yang dicetuskan pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia menyebabkan keluarganya juga tidak tahan dan dia ‘dibuang’ keluarga.

Dalam ciapan di Twitter beberapa hari lalu, individu yang mendakwa sebagai bapa pelawak itu, Anthony Chia Whye Liang mengumumkan, dia dan isterinya, Shirley tidak mengiktiraf Jocelyn sebagai anak lagi sehingga mereka meninggal dunia.

“Perbuatannya menunjukkan saya gagal membesarkan dia menjadi manusia yang lebih baik untuk masyarakat.

“Masyarakat berhak dapat lebih baik daripada ini,” katanya.

Ahad lalu, seakan tidak serik, Jocelyn sekali lagi muncul dengan kontroversi apabila mempersendakan tindakan Malaysia berhubung aksi biadap kumpulan muzik, The 1975, ketika membuat persembahan di Sepang, Selangor, baru-baru ini.

Dalam ciapan di Twitter, secara sinis wanita itu mengalu-alukan vokalis kumpulan itu, Matty Healy yang diletakkan sebagai individu senarai hitam kerajaan Malaysia selain turut mempersoalkan Malaysia tidak mengarahkan Polis Antarabangsa (Interpol) menahan kumpulan itu.

Sebelum ini, Jocelyn mencetuskan kontroversi selepas menjadikan topik kehilangan pesawat penerbangan Malaysia, MH370 sebagai bahan jenakanya dalam satu persembahan komedi bertajuk ‘Singapore vs Malaysia’ di New York, Amerika Syarikat, Jun lalu.

Tindakannya itu dikecam pelbagai pihak termasuk rakyat Malaysia dan Singapura kerana tidak sensitif dengan perasaan keluarga mangsa yang masih bersedih dengan tragedi itu.

Sumber : Harian Metro