Moratorium sewa-beli: Bank setuju tidak caj faedah, penalti lewat bayar – Tengku Zafrul

11

KUALA LUMPUR: Bank bersetuju untuk tidak mengenakan caj tambahan ke atas bayaran ansuran perjanjian sewa beli konvensional dan syariah, demikian kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Caj tambahan berkenaan adalah kadar faedah terakru serta yuran dan penalti lewat bayar.

 

Tengku Zafrul berkata, kementeriannya telah mencapai kata sepakat dengan industri perbankan berhubung perkara itu susulan saranan kerajaan kepada industri perbankan mengenai pelupusan caj tambahan berkenaan.

“Persetujuan dicapai untuk menetapkan bahawa jumlah ansuran bulanan pinjaman tidak akan berubah bagi peminjam sewa beli (konvensional dan Syariah) sepanjang tempoh pembiayaan itu.

“Ini juga bermakna tiada sebarang caj tambahan akan dikenakan sewaktu tempoh moratorium (penangguhan),” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul menjelaskan, dengan tiada caj tambahan itu, peminjam hanya perlu menyambung pembayaran ansuran seperti biasa berdasarkan terma perjanjian dengan bank masing-masing, termasuk tambahan enam bulan bagi keseluruhan jadual pembiayaan jika memilih untuk memanfaatkan moratorium itu.

Beliau berkata, kerajaan berharap keputusan itu akan dapat meringankan beban rakyat dalam tempoh yang mencabar ketika ini.

Baca juga:   Pengerusi surau korban ke-11 Covid-19

Katanya, peminjam boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada bank masing-masing mengenai perkara itu.

Pada minggu lalu hebat diperkatakan mengenai isu moratorium membabitkan pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap susulan kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa institusi perbankan sedang dalam proses menformalkan perjanjian bagi mencerminkan semakan terhadap syarat pembayaran balik dengan pihak peminjam yang mempunyai pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap bagi pelaksanaan moratorium enam bulan untuk pembayaran pinjaman/pembiayaan.

Bank pusat berkata, langkah itu adalah bagi memenuhi keperluan prosedur di bawah Akta Sewa Beli 1967 dan keperluan Syariah yang terpakai bagi apa-apa perubahan yang dibuat terhadap syarat perjanjian berkenaan, termasuk perubahan kepada jadual pembayaran dan/atau jumlah pembayaran berikutan moratorium itu.