Mayat Lelaki Tertiarap Dijumpai Bersama Motosikal Di Dalam Longkang

Foto: Kosmo

SEREMBAN, 16 Ogos- Mayat seorang lelaki ditemukan tertiarap di dalam longkang di tepi Jalan Pajam-Nilai-Salak berdekatan Taman Semarak, Nilai semalam.

Menerusi satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata siasatan awal mendapati mayat itu adalah lelaki berumur 27 tahun ditemui orang awam bersama sebuah motosikal jenis Yamaha SRE-K.

“Balai polis Nilai menerima laporan kira-kira 2.13 petang daripada orang awam, semakan lanjut mendapati terdapat dua laporan polis diterima pada Ahad berkaitan orang hilang oleh isteri simati dan satu lagi laporan oleh pemilik motosikal yang merupakan majikan kepada simati.

“Siasatan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan mendapati tiada sebarang penemuan berkaitan unsur-unsur jenayah setakat ini,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat, manakala kes diklasifikasikan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai) atau Pegawai Penyiasat Trafik IPD Nilai, Inspektor Zarina Ariffin, 013-8238336.