Lima Tahun Penduduk Bertahan Hidu Bau Busuk Sampah, Merayu Tong Sampah Besar Disediakan

Foto : Kosmo

KEMAMAN – Ribuan penduduk Felda Cherul dan Kampung Ban Ho, di sini sudah tidak tahan de­ngan masalah tapak pembua­ngan sampah haram yang sudah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Timbunan sampah dan sisa pepejal tersebut memenuhi kawasan laluan masuk ke ladang kelapa sawit dan kebun di tanah rancangan tersebut sejauh kira-kira dua kilometer.

Seorang penduduk, Mohd. Nazri Salleh, 36, mendakwa, tapak pembuangan sampah berkenaan dilihat semakin bertambah setiap hari.

“Timbunan sampah itu bukan sahaja terdapat di laluan masuk ke ladang dan kebun kami malah sudah merebak hingga ke lereng bukit berdekatan.

“Ia bukan sahaja mengeluarkan bau busuk dan mencemarkan pemandangan malah me­ngundang kehadiran haiwan liar,” dakwanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Nazri berkata, kelibat kera, babi hutan dan biawak dilihat banyak berkeliaran menyelongkar timbunan sampah terbabit.

Tambahnya, haiwan liar itu dibimbangi memberi ancaman terhadap penduduk yang kerap melalui kawasan tersebut untuk memasuki ladang dan kebun mereka.

Seorang lagi penduduk, Nur Ainun Mat Yasim, 34, mendakwa perniagaan kedai makannya merosot teruk berikutan tapak pembuangan sampah berkenaan.

Katanya, kedainya hanya terletak 500 meter dari tapak pembuangan sampah tersebut.

“Timbunan sampah berke­naan mengeluarkan bau busuk dan menyebabkan gangguan lalat hingga ke kedai makan saya.

“Kedatangan pelanggan semakin merosot dan banyak makanan tidak laku setiap hari,” katanya.

Sehubungan itu, Nur Ainun menggesa pihak bertanggungjawab segera mengatasi masalah tersebut.

Dia berharap sekurang-kurangnya tong sampah besar disediakan bagi memudahkan penduduk membuang sampah.

Sumber : Kosmo