Lelaki Putus Tangan Akibat Mercun Buatan Sendiri

Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan selepas tangan kirinya putus dan beberapa jari tangan kanan hancur akibat terkena mercun buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Gong Pak Damat, Kuala Nerus awal pagi Isnin.

Memetik laporan Sinar Harian, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.30 pagi itu turut mengakibatkan mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa telah membancuh mercun buatan sendiri menggunakan mercun bola dan paip Polyvinyl Chloride (PVC) menyebabkan berlaku letupan yang kuat.

“Mangsa mengalami kecederaan serius iaitu putus pada pergelangan tangan kiri, manakala beberapa jari tangan kanan juga hancur serta mengalami kecederaan lain pada bahagian badan.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan telah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Ujar beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sumber : Sinar Harian | Gambar : Adobe Stock