Lelaki dakwa disuntik picagari kosong! KKM buat siasatan terperinci

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat siasatan terperinci berhubung dakwaan seorang individu disuntik picagari kosong ketika mendapatkan vaksin di Selangor.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, ini termasuk siasatan terhadap beberapa video tular yang berkaitan insiden sama.

“Kita bimbang dengan wabak COVID-19 tetapi dalam masa sama juga kita bimbang dengan penularan berita palsu.

“Siasatan yang mendalam perlu dibuat bagi memastikan dakwaan itu benar atau sebaliknya.

“Saya terima video tular itu tetapi bila ditanya tiada jawapan,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Serbaguna Majlis Daerah Selama hari ini.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamarudin.

Noor Azmi dalam masa sama meragui kononnya kejadian itu berpunca akibat kecuaian petugas kesihatan.

Tegasnya, keadaan itu sukar untuk terjadi disebabkan ia mempunyai pelbagai prosedur serta diperiksa beberapa individu.

Beliau dalam masa sama kesal dengan penularan berita palsu selain menyifatkan ia bukan masa sesuai untuk melawak dalam keadaan negara sedang menyelamatkan nyawa.


Rabu lalu, tular satu laporan polis oleh seorang lelaki yang mendakwa disuntik dengan picagari kosong ketika hadir mendapatkan vaksin Covid-19 di sebuah hospital.

Menurut laporan itu, lelaki berkenaan merakamkan video proses suntikan dan apabila melihat semula rakaman tersebut, dia mendapati tiada cecair vaksin di dalam picagari, malah jarum suntikan tidak ditekan.