Lelaki 40 tahun ‘high’ ganja semasa memandu, rempuh 6 kereta

SEORANG lelaki tempatan yang ditahan selepas melanggar enam kenderaan di Lebuhraya Bukit Jalil, Sabtu lalu didapati memandu di bawah pengaruh dadah.

Di dalam kejadian tersebut yang berlaku kira kira pukul 10.30 pagi berhampiran Bulatan Lumba Kuda, seorang lelaki berusia 40 tahun telah hilang kawalan ketika memandu keretanya sehingga menyebabkan kenderaan tersebut terbabas sehingga melanggar enam kenderaan lain yang sedang berhenti bagi menunggu lampu isyarat.

“Kemalangan itu bagaimanapun hanya menyebabkan kerosakan kenderaan yang terbabit dan tidak membabitkan sebarang kecederaan,” jelas Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin kepada Harian Metro.

Beliau juga berkata yang suspek telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan setelah ujian saringan air kencing dijalankan, suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Suspek kemudiannya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya.

“Jika disabit kesalahan, suspek boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM15,000 atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Sumber gambar – Youtube | Sumber laporan – Harian Metro