Lebih 7 Juta Rakyat Malaysia Hadapi Hari Tua Tanpa KWSP Dan Pencen

Gambar : Sinar Harian

PENDEDAHAN Pengerusi Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP), Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir bahawa jumlah tenaga buruh yang mempunyai caruman KWSP masih rendah amat membimbangkan.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata bahawa lebih tujuh juta atau kira-kira 44 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh di negara ini tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Skim Pencen Perkhidmatan Awam.

Menurutnya, majoriti tenaga buruh yang tidak dilindungi itu adalah pekerja tidak formal termasuk pekerja bebas dan golongan bekerja sendiri.Katanya hanya 56 peratus mendapat perlindungan tersebut dan kadar itu lebih rendah berbanding purata liputan global yang berada pada 68 peratus.

Ketika berdepan cabaran ekonomi yang tidak menentu, sudah tentu dana hari tua juga sama penting untuk meneruskan kehidupan persaraan apatah lagi pada usia tersebut, tidak semua orang mampu bekerja.

Kos kehidupan asas masih memerlukan belanja yang besar. Belum lagi hal-hal kecemasan melibatkan kesihatan. Apatah lagi demi memastikan kualiti hidup yang lebih baik pada usia emas.

Adakah kita masih sanggup membanting tulang menggunakan kudrat yang ada pada usia 60 hingga 80 tahun untuk bekerja?

Sekiranya terdapat pekerja yang masih berkhidmat dalam mana-mana sektor walaupun sudah mencapai umur warga emas, ia akan memberi kesan terhadap ekonomi dan meningkatkan kadar pengangguran sedia ada terhadap golongan belia.

Masyarakat perlu sedar, pencarum sedia ada juga masih bimbang tentang dana persaraan yang kemungkinan besar tidak mencukupi untuk kos sara hidup akan datang.

Sumber : Sinar Harian