Lebih 3,000 ‘Rider’ P-Hailing Seluruh Selangor Terima RM500 Tunai Hari Ini

LEBIH 3,000 penghantar p-hailing pelbagai syarikat di seluruh Selangor menerima tunai sebanyak RM500 menerusi Inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride) di sini, hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi tujuan itu, pada tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta.

“Kita menerima pendaftaran 5,358 nama-nama yang sudah memohon dan lebih 3,000 permohonan diluluskan yang mana masing-masing menerima RM500 secara tunai hari ini.

“Justeru (dalam ucapan tadi) saya turut mengumumkan kita menambahkan RM1 juta tahun ini untuk diberikan kepada yang belum dapat 2,000 lebih permohonan, kita tapis mengikut syarat ada akan beri sekitar Julai atau Ogos.

“Kita ambil senarai yang sudah daftar sebelum ini untuk diberikan sebab mereka ini sangat signifikan, kehidupan agak sukar, kos barang meningkat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Inisiatif Roda Darul Ehsan di sini petang tadi.

Amirudin berkata, sejak dilancarkan pada 2020, pihaknya kira-kira 9,500 penghantar p-hailing menerima manfaat dari program itu.

“Setiap penghantar p-hailing ini menerima insentif RM500 secara tunai dan RM50 melalui caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau akan membawa beberapa isu berbangkit membabitkan golongan ini terutamanya membabitkan isu kadar tip atau bayaran tidak sekata.

Sumber gambar – Kosmo Digital | Sumber laporan – Harian Metro