KPM Melanjutkan Tarikh Pendaftaran SPM 2023 Bagi Calon Persendirian Sehingga 30 Jun

Foto : Kosmo

Seramai 30,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang tidak hadir peperiksaan disifatkan menerima peluang kedua apabila Kementerian Pendidikan (KPM) melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM 2023 bagi calon persendirian sehingga 30 Jun ini.

KPM dalam satu kenyataan berkata, lanjutan itu akan dibuat pada tarikh tersebut sehingga pukul 6 petang.

“KPM membuat keputusan untuk melanjutkan tarikh pendaftaran peperiksaan SPM Tahun 2023 bagi calon persendirian sehingga 30 Jun 2023 (Jumaat) pada pukul 6 petang.

“Keputusan itu selaras dengan teras keempat Nadi Keunggulan KPM yang memberi perhatian terhadap isu keciciran pendidikan dan hasrat murni Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar peluang kedua diberikan kepada hampir 30,000 calon SPM Tahun 2022 yang tidak hadir peperiksaan,” katanya tadi.

Katanya, pendaftaran peperiksaan SPM 2023 boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui aplikasi Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian (SPPAT) di pautan sppat.moe.gov.my.

“Calon perlu mematuhi syarat-syarat pendaftaran ditetapkan serta perlu membuat bayaran asas dan bayaran mata pelajaran yang hendak didaftarkan.

“Sukacita dimaklumkan permohonan pendaftaran peperiksaan bagi calon lepasan SPM 2022 adalah dikecualikan daripada fi bayaran lewat daftar.

“Manakala pendaftaran peperiksaan persendirian selain calon lepasan SPM 2022 masih tertakluk kepada syarat-syarat pendaftaran sedia ada,” jelasnya.

Menurutnya, maklumat lanjut berkaitan pendaftaran peperiksaan SPM 2023 bagi calon persendirian boleh diperoleh daripada laman sesawang LP di pautan lp.moe.gov.my.

“KPM sentiasa prihatin dengan masa depan anak-anak bakal peneraju negara dan berharap agar calon-calon lepasan peperiksaan SPM 2022 menggunakan sepenuhnya peluang diberikan untuk menduduki dan memperbaiki keputusan peperiksaan masing-masing.

“KPM sentiasa berusaha memastikan anak-anak mendapat peluang pendidikan yang berkualiti demi membangunkan Malaysia Madani,” jelasnya.

Sebelum ini, pendaftaran SPM 2023 bagi calon persendirian telah tamat pada 16 Jun 2023 sepertimana dinyatakan dalam surat makluman Pelanjutan Tarikh Pendaftaran Peperiksaan Awam Tahun 2023: SPM, Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU). 

Sumber : Kosmo