KKM Perlu Lebih Ramai Jururawat Gerontologi

Foto: Suara Merdeka

KOTA SAMARAHAN, 9 September- Negara kekurangan jururawat bidang gerontologi atau khusus dalam bidang penjagaan warga emas.

Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan lebih ramai jururawat bidang tersebut bagi menampung keperluan masa kini.

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, keperluan itu sejajar dengan situasi negara ketika ini yang mencatatkan peningkatan populasi warga emas dan memerlukan perhatian.

“Perkhidmatan khas khusus kepada warga emas memang sangat diperlukan. Bidang ini bukannya terhad kepada doktor pakar sahaja, jururawat juga sangat diperlukan,” katanya.

Beliau menjelaskan, banyak pusat kesihatan di bawah KKM juga telah memohon bagi penambahan jururawat yang mengkhusus kepada penjagaan kecemasan dan rawatan rapi.

Menurutnya seramai 310 orang jururawat rawatan rapi, jururawat gerontologi (48 orang) dan jururawat primer (51 orang) sedang menjalani latihan di 19 ILKKM seluruh negara termasuk tiga buah di Sarawak.

Beliau terdahulu menghadiri Istiadat Konvokesyen Institut Latihan KKM (ILKKM) 2023 Zon Sarawak di Kota Samarahan.

Pada konvokesyen tersebut, seramai 1,195 graduan menerima diploma masing-masing.

Mereka merupakan sebahagian dari 8,643 petugas KKM yang berjaya menamatkan latihan pengkhususan seperti dalam kejururawatan, kesihatan primer, pergigian dan farmasi.