MELAKAR sejarah antara filem biopik pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya namun filem Anwar: The Untold Story seperti disabotaj oleh sesetengah pawagam tanah air.
Filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd dan edaran DMY Creation ketika ini berjaya menarik perhatian ramai selepas mengetengahkan isu berkisar jatuh bangun perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, ada pawagam enggan bekerjasama dengan memberi lebih slot tayangan untuk filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu.
“Saya kesal filem Anwar: The Untold Story disabotaj oleh pihak pawagam.
“Lebih mengecewakan ada pawagam menyediakan 40 slot tayangan untuk filem antarabangsa, namun hanya memberikan empat slot untuk naskhah ini.
“Ia adalah tindakan tidak adil, filem ini sedang mendapat perhatian ramai ketika ini,” katanya.
Tambah Mohamed Yusoff pihaknya melakukan tinjauan setiap hari untuk mengetahui respon penonton.
“Ramai penonton membuat aduan tidak dapat menonton di beberapa pawagam berikutan tiada slot tayangan.
“Jadi, kami bertindak membuat aduan kepada pihak pawagam, namun keadaan masih sama pada hari ketiga tayangan, semalam.
“Justeru, kami tidak boleh mendiamkan diri dan memilih untuk bersuara,” katanya.
Menurutnya, tindakan pawagam tidak memberikan sokongan terhadap filem tempatan memberi impak buruk terhadap pembangunan industri perfileman.
“Saya berharap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dapat memantau perkara ini agar layanan karya tempatan dan antarabangsa diberikan sama rata,” katanya.
Filem Anwar: The Untold Story yang mula ditayangkan di seluruh pawagam tempatan sejak Khamis lalu diterajui Farid Kamil dan aktres popular Indonesia, Acha Septriasa selain penampilan Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.
Sumber gambar – Vocket | Sumber laporan – Harian Metro