Kaki Budak Darjah 3 Tersangkut Dalam Lubang Tandas Hampir Sejam

Foto: Harian Metro

Kajang: Budak lelaki terpaksa menanggung derita kira-kira sejam apabila kaki kanannya tersangkut di dalam lubang tandas rumahnya di sebuah apartmen di Balakong di sini, malam tadi.

Kejadian dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada 8.36 malam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah jentera dengan kekuatan lima pegawai dan anggota segera ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Bomba mendapati kejadian membabitkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang kaki kanannya tersangkut di dalam lubang tandas.

“Kerja mengeluarkan kaki kanak-kanak terbabit dilakukan oleh anggota dan dikeluarkan pada 9.11 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa diserahkan kepada keluarga untuk tindakan lanjut.

Sumber: Kosmo