Kadar insentif pembajakan naik, penuaian diperkenal – KPKM

Kadar insentif pembajakan telah dinaikkan dan insentif penuaian telah diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 27 Mei 2024.

Menerusi kedua-dua insentif tersebut, pesawah akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPKM, pihak berkenaan telah mengambil langkah menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim.

“KPKM juga turut memperkenalkan insentif baru iaitu insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.

GAMBAR-PORTAL-2024-06-11T151834.202.jpg

“Menerusi kenaikan kadar ini, hampir 130,000 orang pesawah di Semenanjung Malaysia akan menerima bantuan insentif pembajakan dan insentif penuaian sebanyak RM210 per hektar per musim,” katanya.

Pada 27 Mei 2024 yang lalu, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) termasuklah kategori BUDI Agri-Komoditi kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan.

Manakala, KPKM melalui siaran medianya pada tarikh yang sama telah memaklumkan bahawa subsidi diesel kepada nelayan dikekalkan.

Di samping itu, KPKM turut mengumumkan kenaikan kadar insentif pembajakan serta pengenalan insentif baru penuaian kepada pesawah.