Jumlah penduduk terjejas banjir di Kelantan semakin meningkat dengan : 11 PPS dibuka pagi tadi

KOTA BHARU - Perkembangan terkini banjir di Kelantan.

Menurut Portal Rasmi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 9 pagi tadi, jumlah penduduk terjejas banjir semakin meningkat dengan sebanyak 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di tiga kawasan iaitu Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang.

Banjir mengakibatkan 315 penduduk daripada 89 keluarga ditempatkan di PPS.

Di Tanah Merah, 6 PPS dibuka dengan menempatkan 26 keluarga membabitkan 103 penduduk.

175 penduduk daripada 48 keluarga di Kuala Krai dipindahkan ke 4 PPS.

Manakala di Machang, sebuah PPS dibuka bagi menempatkan 15 keluarga dengan 37 penduduk dipindahkan.

Dalam pada itu, Laman Rasmi Public Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia memaklumkan, setakat jam 9 pagi tadi, Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai dan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas telah melepasi paras Amaran iaitu 31.60 meter dan 8.81 meter.

Tiga sungai lain iaitu Sungai Kelantan di Kusial Tanah Merah dan Kuala Krai serta Sungai Golok di Jenob Tanah Merah masih berada pada paras berjaga-jaga.