Isu Pengadil di Final Piala Malaysia, FAM Keluar Kenyataan Rasmi

Sebelum perlawanan final Piala Malaysia 2023 berlangsung, isu keadaan padang menjadi topik utama seluruh peminat bola sepak tanah air. Tidak habis di situ, timbul pula isu pengadil bagi perlawanan antara Johor Darul Ta’zim melawan Terengganu FC yang dikatakan bukan dari kalangan Pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu pada Isnin.

Menurut FAM, pihak mereka tidak dapat melantik pengadil dalam kalangan enam pengadil FIFA untuk perlawanan Final Piala Malaysia 2023 adalah disebabkan oleh beberapa faktor dan kekangan.

Razlan Joffri Ali dan Kamil Zakaria merupakan pengadil kelahiran Terengganu, Tuan Yaasin Tuan Hanafiah pengadil berdaftar di Johor manakala Usaid Jamal yang baru bertugas di Melaka pula pernah berdaftar sebagai pengadil di Johor, sekali gus mereka tidak dapat dilantik atas faktor pengadil berstatus berkecuali.

Baki dua lagi Pengadil FIFA, Suhaizi Shukri dari Kedah terlibat dengan tugasan Piala AFC manakala Nazmi Nasaruddin dari Pulau Pinang berada di Arab Saudi untuk tugasan pengadil.

Berdasarkan situasi tersebut, pemilihan S. Logeswaran dari Selangor telah dilakukan dengan rapi dan mendapat persetujuan Jawatankuasa Pengadil FAM selepas mengambil kira faktor beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik di sepanjang Liga Malaysia 2023 mengikut laporan penilai pengadil, selain beliau adalah pengadil yang berkecuali.

Logeswaran juga merupakan antara pengadil senior dalam saingan Liga Malaysia dengan beliau adalah Pengadil Kebangsaan Kategori A.

Sementara itu, berhubung beberapa keputusan pada aksi final tersebut yang dipertikaikan, keputusan-keputusan yang dibuat itu adalah tepat selepas penelitian rakaman video dilakukan.

Bagi insiden sepakan penalti yang diberikan untuk gol pertama Johor Darul Ta’zim pada minit keenam, pengadil berada pada kedudukan yang tepat untuk membuat keputusan dan memang ada sepakan dilakukan oleh pemain Terengganu FC ke atas pemain Johor Darul Ta’zim dan ia juga berlaku dalam kawasan penalti.

Bagi insiden sepakan penalti untuk gol penyamaan Terengganu FC pada minit ke-21 pula, kesalahan pemain Johor Darul Ta’zim terhadap pemain Terengganu FC telah jelas dilihat dan dibantu oleh Pembantu Pengadil Tambahan 1, sekali gus keputusan pengadil dibuat berdasarkan bantuan daripada Pembantu Pengadil Tambahan 1 dan bukanlah atas desakan dan permintaan daripada pemain-pemain Terengganu FC.

Dalam satu lagi isu berkaitan, FAM tidak menerima apa-apa maklumat berkaitan teguran yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FIFA, Pierluigi Collina terhadap mutu pengadilan pada aksi final tersebut dan apa yang tular di media sosial itu adalah berita atau kenyataan palsu.

Sumber : FAM