Istana Negara sahkan Anwar Ibrahim hanya kemukakan jumlah sokongan, tidak kemukakan sebarang nama

PRESIDEN Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyenaraikan nama ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Anwar hanya mengemukakan jumlah ahli Parlimen dan tiada sebarang nama bagi mengukuhkan dakwaan beliau sebelum ini.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fadil memaklumkan Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran dengan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia yang turut menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri.

Baginda turut menasihati seluruh rakyat supaya bertenang serta berdisiplin menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi ketetapan tatacara kebiasaan baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan keyakinan dan mengajak seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik bersatu padu dan bersatu hati memerangi penularan COVID19 demi keselamatan bersama serta kesejahteraan negara.

“Adalah dimaklumkan juga, lanjutan kepada pelaksanaan PKPB dan atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah, Istana Negara telah melaksanakan sekatan pergerakan separa yang telah berkuatkuasa sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Tambah beliau, Baginda amat prihatin dan menitik beratkan penjagaan dan tahap kesihatan diri pegawai serta kakitangan Istana Negara dan pelaksanaan ini adalah untuk menjaminkan keselamatan dan kesejahteraan warga Istana Negara.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dan dirahmati dan ancaman penularan COVID-19 dapat dibendung dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” katanya.

Sumber: Awani

Most Popular

Faizal Azumu kini Menteri Besar Perak sementara

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan beliau kini kekal menjadi Menteri Besar Perak namun ia dibawah kerajaan sementara sehingga rombakan baru...

“Saya tak akan bubar DUN” – Ahmad Faizal

DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu berkata beliau tidak akan mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi menyembah...

Danial Zaini buat pengakuan jujur – “Video tular atas katil tu memang diri saya”

PELAWAK Danial Zaini akhirnya mengakui video tular di atas katil sambil menyanyikan sebuah lagu di laman Twitter adalah dirinya. Danial atau nama sebenarnya Mohamad Danial Mohd Zaini, 27,...

MB Perak gagal peroleh majoriti, akan berlaku peralihan kuasa?

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi usul undi percaya terhadapnya hari...