‘Inflight meal’ MAS Sudah Dikembalikan Secara Beransur-Ansur

Foto: Inflight feed

KUALA LUMPUR, 17 September- Hidangan makanan panas dalam penerbangan Malaysia Airlines MAS sudah dikembalikan secara beransur-ansur.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi satu hantaran di laman Facebooknya semalam memaklumkan, hidangan istimewa MH iaitu satay juga disediakan untuk kelas perniagaan.

“Pagi tadi, saya mengambil penerbangan Malaysia Airlines ke Kuching untuk menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri dan seterusnya sambutan Hari Malaysia pada malam ini.

“Untuk makluman, hidangan makanan panas sudah dikembalikan secara beransur-ansur untuk beberapa sektor termasuk KL-Kuching selepas peralatan tambahan untuk penyediaan makanan in-flight diterima oleh pihak Malaysia Airlines.

“Sudah tentu, hidangan “signature” MH iaitu satay juga disediakan untuk kelas perniagaan,”menurutnya dalam hantaran tersebut.

Tambah Loke, segala kesulitan yang masih dihadapi dalam penerbangan-penerbangan lain amatlah dikesali dan pihak Malaysia Airlines akan berusaha untuk memulihkan keadaan secara sepenuhnya secepat mungkin.

Jumaat lalu, Malaysia Airlines Bhd menyasar untuk memulihkan sepenuhnya perkhidmatan hidangan makanan lengkap menjelang pertengahan November tahun ini.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata, pengembalian semula perkhidmatan makanan panas di laluan domestik dan antarabangsanya yang terjejas akibat peralihan katering baru-baru ini dipulihkan dengan ketibaan 10 trak lif tinggi baharu lebih awal daripada jadual.

Kontrak katering yang lama terjalin antara syarikat itu dan Brahim’s Food Services (BFS) berakhir pada 31 Ogos lalu selepas rundingan antara kedua-dua pihak sejak suku keempat 2022 gagal menemui penyudah yang baik.