Ibu Bapa Merayu Taman Permainan Diselenggara Segera, Risau Keselamatan Anak

Foto: EvolusiBina

DUNGUN – Penduduk Mukim Bukit Besi di sini, merayu pihak berkuasa supaya segera memperbaiki taman permainan di Taman Rekreasi Bukit Besi yang berada dalam keadaan uzur apabila banyak kemudahannya rosak dan berkarat.

Seorang penduduk, Aisyah Ahmad, 34, berkata, keadaan yang berlaku sejak setahun lalu disebabkan kurang penyelenggaraan itu mengundang bahaya kepada kanak-kanak yang mahu menggunakannya.

“Saya serba salah setiap kali dua anak kecil mengajak ke taman permainan itu untuk bermain.

“Saya faham naluri sebagai kanak-kanak kerana itu sahajalah taman permainan yang terdapat di kampung kami, tetapi saya risaukan keselamatan mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Aisyah yang menetap di Kampung Besol di sini, berkata, dia tiada pilihan dan tetap membawa anak-anaknya bermain di taman permainan itu, namun dalam keadaan sentiasa berwaspada.

Seorang lagi penduduk, Khai­rul Hafizi Ramli, 39, pula berkata, dia tetap bertegas melarang anak-anaknya bermain di taman permainan tersebut.

Sebaliknya, dia hanya akan berjoging bersama anak-anaknya di trek yang disediakan di Taman Rekreasi Bukit Besi ber­kenaan.

“Taman permainan tersebut penting dalam pembesaran anak-anak kami yang menetap di sekitar Mukim Bukit Besi ini,” ujarnya.

Khairul Hafizi berkata, Taman Rekreasi Bukit Besi yang mempunyai kawasan perkelahan air terjun juga kerap mene­rima kehadiran ramai pengunjung luar.

“Oleh itu sepatutnya, kemudahan yang terdapat di taman ini diselenggarakan dengan baik supaya ia selamat digunakan,” katanya.

Sumber: Kosmo