Faizal Azumu kini Menteri Besar Perak sementara

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan beliau kini kekal menjadi Menteri Besar Perak namun ia dibawah kerajaan sementara sehingga rombakan baru dibuat kelak.

Beliau berkata demikan selepas menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta petang tadi.

“Saya telah menghadap Sultan Perak dan telah sembah maklum berhubung apa yang berlaku ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pagi tadi dimana saya telah hilang majoriti.

“Sudah pasti Tuanku perlu membuat beberapa pertemuan sebelum membuat sebarang keputusan dan memilih seorang ahli dewan yang mempunyai majoriti untuk bentuk kerajaan baru, katanya ketika di perkarangan Istana Kinta petang tadi.

Beliau dalam masa sama, mengharapkan agar proses peralihan kuasa ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi kelancaran pentadbiran negeri.

Terdahulu, beliau tiba di Istana Kinta sekitar jam 5.15 petang bagi menghadap Tuanku Sultan Perak.

Menerusi sidang DUN pada pagi tadi, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti ketika sidang bagi usul undi percaya terhadapnya.

Perkara itu menyaksikan 48 undi tidak menyokong usul berkenaan manakala hanya 10 undi yang menyokong serta satu undi rosak dan berkecuali.