Fahmi Fadzil bantu pemilik “kereta perang”

Selepas menerima kecaman kerana tindakkannya berkongsi gambar sebuah kereta buruk dilaman sosial, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil akhirnya bersemuka dengan pemilik kereta tersebut.

Berniat untuk memohon maaf atas ketelanjurannya pada mulanya, namun akhirnya ada kisah berbeza yang dikongsi beliau.

Berkongsi kronologi kisah pertemuan dengan pemilik kereta bernama Yap Chi Hoe, jelas Fahmi dia juga turut membantu Chi Hoe mendapatkan rawatan mata.

****
Ini kisah benar.

Pada 8 September lalu, saya telah tweet berkenaan sebuah kereta yang dalam keadaan amat daif dan kelihatan seperti tidak selamat untuk dipandu. Malangnya, tweet saya itu telah disalah faham. Ada yang beranggapan saya memperlekeh keadaan fizikal kereta itu. Malah ada pihak yang mengambil kesempatan untuk melempar fitnah, kononnya pemandu kereta itu kenalan mereka dan saya memomok golongan berpendapatan rendah.

Pada waktu itu, saya berpendirian untuk memohon maaf dan tidak melanjutkan polemik di media sosial. Saya juga berpandangan bahawa jika benar pemandu itu perlukan bantuan, maka saya perlu bantu secukupnya. Tetapi saya tidak kenal beliau, dan tidak tahu bagaimana untuk menghubunginya.

Alhamdulillah, ada beberapa pihak yang tampil untuk membantu. Akhirnya, beberapa hari kemudian saya berjaya hubungi individu tersebut.

Nama beliau Yap Chi Hoe. Beliau berusia 39 tahun dan tinggal di Klang. Ibu bapa beliau sudah tiada. En Yap bekerja sebagai pemandu lori (bukan pemandu Grab), dan cukup menyayangi haiwan. Beliau juga tidak mengenali sesiapa bernama ‘Riza Tan’.

Pada mulanya, En Yap tidak mahu bertemu. Saya berkata yang saya mahu memohon maaf kepada beliau, tetapi beliau tidak yakin. Maka saya anggap cerita ini tertutup di situ.

Namun selepas beberapa hari, En Yap pula menghubungi saya. Beliau setuju untuk bertemu. Saya mendapat cerita penuh dari beliau, dan inilah ringkasannya:

Pada 8 September, En Yap terlibat dalam satu kemalangan di satu lebuhraya apabila dilanggar sebuah lori kontena dari belakang. Beliau telah menunggu tow truck, dan kerana beliau perlu tepati temu janji maka telah membuat keputusan untuk tetap memandu kereta yang telah dilanggar lori kontena itu.

Dari perbualan saya, saya dapati beliau sedang menghadapi masalah penglihatan yang mungkin mengakibatkan kehilangan penglihatan total, dan membuat keputusan untuk mengusahakan bantuan sebaik mungkin.

Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana pihak pengurusan Pantai Hospital Kuala Lumpur telah bersetuju untuk membantu secara pro bono sebagai sebahagian dari projek CSR mereka. Doktor pakar mata telah mendapati satu mata beliau mengalami masalah ‘chronic retinal detachment’, dan satu lagi perlu laser.

Saya ingin ucap terima kasih yang tidak terhingga kepada Pn Erica Lam (CEO) dan Dr Manoharan Shunmugam (pakar mata) di atas bantuan mereka untuk kes ini.

Pembedahan itu telah dijalankan semalam (15hb Oktober), dan hari ini saya melawat beliau. Tiada masalah sampingan dari pembedahan, dan beliau akan dibenarkan pulang hari ini.

InshaAllah, selepas ini En Yap akan diberi sedikit rawatan susulan, dan saya percaya dengan keadaan mata yang semakin baik beliau akan berpeluang membina kehidupan yang lebih baik nanti.

Semoga segala usaha kita diberkati Ilahi.

Nota kaki: Kereta En Yap dianggap ‘total loss’, dan pihak insuran akan membantu beliau sepenuhnya.