Dua rakan maut motosikal dinaiki terbabas

NIBONG TEBAL, 3 Feb — Dua rakan sekerja maut selepas motosikal yang dinaiki mereka melanggar sebuah kereta sebelum hilang kawalan serta memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Datuk Keramat di sini, hari ini.

Dalam nahas pada kira-kira 4.50 petang, A.Durairash, 20, menunggang motosikal jenis Honda Ex-5 manakala rakannya, Ellarasan, 22, yang membonceng, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan serta kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Shafee Abdul Samad berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku semasa kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun dalam perjalanan dari arah Nibong Tebal ke Parit Buntar, Perak berhenti untuk membelok ke kiri jalan tiba-tiba dilanggar motosikal dinaiki mangsa yang datang dari arah belakang.

“Motosikal itu telah melanggar bahagian bucu sebelah kanan belakang Toyota Vios tersebut sebelum terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar sebuah lori yang datang dari arah hadapan sebelum dua lelaki itu terpelanting,” katanya di sini malam ini.

Katanya pemandu lori berusia 49 tahun dan pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan manakala mayat dua lelaki tersebut dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat.

sumber – BERNAMA