Dua Lelaki Didakwa Rompak Pasangan Sama 3 Kali Dalam Masa 3 Minggu

Foto : Harian Metro

Dua individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Ipoh, hari ini atas tuduhan memecah masuk kediaman dan merompak pasangan warga emas sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga minggu.

M Hari Chandra, 41, dan Lawrence Anthony Das, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara bersama ke atas mereka di hadapan Hakim Ainon Shahrin Mohamad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompak berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap Chan Liew Chan, 72, di sebuah rumah di Regat Tasek Timur 20, Taman Ria di sini, 3 pagi 24 Mei lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama, sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nazreen Zabarudin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Nazreen tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan mengambil kira keterangan mangsa bahawa kedua-dua tertuduh melakukan jenayah itu sebanyak tiga kali di rumah yang sama iaitu rumah mangsa.

Mohd Nazreen bagaimanapun memohon pertimbangan mahkamah bahawa sekiranya tertuduh dibenarkan untuk dijamin, ia mesti disertakan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa selain perlu melapor diri ke balai polis dua kali sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin setiap seorang selain bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan sebelumnya.

Hakim turut menetapkan tarikh 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam kamar mahkamah berasingan, rakan kepada kedua-dua tertuduh itu iaitu M Shashipal Singh, 33, turut didakwa dengan pertuduhan secara curang menyimpan harta curi berupa sebuah telefon bimbit kepunyaan Liew Chan dengan pengetahuan bahawa barangan terbabit adalah hasil rompakan berkumpulan.

Shashipal Singh bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan harta curi berupa sebuah telefon bimbit jenama Huawei 3i kepunyaan Liew Chan dengan pengetahuan bahawa barangan terbabit adalah hasil rompakan berkumpulan.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 serta menetapkan tarikh 7 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, kes pecah rumah serta samun yang dialami pasangan suami isteri warga emas selepas rumah mereka di Taman Ria Bercham dipecah masuk sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga minggu sejak 2 Mei lalu, dianggap selesai hasil penahanan tiga lelaki.

Sumber : Harian Metro