Dua gadis siang malam kerja keras cari duit ekstra jadi pelacur di apartmen

CARI pelanggan lelaki berhidung belang menggunakan aplikasi WeChat dan Michat. Dua remaja perempuan berusia 18 dan 19 tahun yang menjalankan kegiatan pelacuran menerusi aplikasi WeChat dan MiChat ditahan pada serbuan di sebuah apartmen di Jalan Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu, Sabah jam 10.30 malam kelmarin, lapor Harian Metro.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, kedua-duanya bergerak sendiri tanpa orang tengah.

“Kedua-duanya yang tidak bekerja dipercayai menjalankan kegiatan ini sebagai sumber pendapatan mudah.

“Mereka menggunakan aplikasi WeChat dan MiChat untuk membolehkan pelanggan terus berhubung bagi mendapatkan khidmat seks selain menyukarkan identiti sebenar mereka dikesan,” katanya dihubungi Harian Metro.

Alhusin berkata, kedua-duanya kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Kerjasama dan maklumat orang awam dialu-alukan bagi mengekang kegiatan pelacuran melalui aplikasi seumpama ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro