Dr Zaliha Anggap Turun Padang, Mendengar Sendiri Masalah Staf KKM Lebih Efektif

Foto: Utusan TV

PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dipuji warga kerja sektor kesihatan berikutan beliau kini dikatakan kerap turun padang.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr. Muhammad Yassin, menerusi Facebooknya berkata, ia adalah suatu perkara positif yang perlu lebih kerap dilakukan.

“Dalam beberapa minggu ini dapat dilihat bahawa Dr. Zaliha banyak turun padang ke hospital serta klinik kesihatan seluruh negara untuk melihat dan mendengar sendiri masalah yang dihadapi oleh staf-staf Kementerian Kesihatan (KKM).

“Perkara ini adalah suatu yang amat positif dan harus kerap dilakukan supaya beliau tahu apa masalah yang dihadapi oleh staf beliau,” katanya.

Jelasnya, cara konvensional yang digunakan sebelum ini tidak efektif kerana proses kenal pasti masalah perlu melalui pelbagai tapisan dalaman.

“Cara konvensional sebelum ini iaitu menteri bertanya kepada pengarah hospital atau jabatan kesihatan negeri nampak seperti tidak efisien.

“Mungkin kerana terlalu banyak tapisan dalaman sebelum sebarang perkara sampai kepada beliau, menteri kesihatan.

“Pegawai-pegawai beliau pun agak proaktif dan sentiasa berhubung dengan organisasi seperti HDK, berkenaan isu-isu berkaitan doktor muda dan sistem kesihatan amnya,” ujarnya.

Dalam masa sama, laman rasmi HDK turut berkongsi hantaran tersebut dan meminta supaya Zaliha memantau ‘dinosaur-dinosaur’ dalam KKM.

Katanya jika tidak, ia mungkin akan menggagalkan misi pembaharuan beliau untuk KKM.

“Untuk melakukan reformasi kesihatan, ‘political will’ yang kuat penting supaya sektor kesihatan akan terus maju demi rakyat jelata.

“Admin juga ingin menasihatkan YB Menteri untuk memantau dinosaur-dinosaur dalam KKM yang mungkin akan menggagalkan misi ‘reform’ (pembaharuan) beliau.

“Insya-Allah, sama-sama kita membantu meningkatkan mutu perkhidmatan serta kebajikan pekerja-pekerja kesihatan di negara ini,” tegas hantaran tersebut. 

Sumber: Kosmo